Rabu, 02 Maret 2011

Kek Kukus Lapis Coklat


Assalamualaikum dan selamat sejahtera...

Alhamdulillah berjaya gak post entri baru meskipun agak terlewat. Maklumlah tuan rumah mcm biasa busy sket minggu ni. Kalau senyap tak ada entri tu maknanya mmg tak online lah kan..hehe. Seperti biasa, terima kasih banyak2 atas kesudian anda singgah ke dapur yang tak seberapa ni yer. Bagi yg telah mencuba resepi2 di sini, DJ ucapkan berbanyak2 terima kasih dan semoga dapat memenuhi selera anda sekeluarga. TQVM.

Oklah, hari ni nak share satu lagi resepi kek kukus lapis yg cepat dikukus dan sedap dimakan...hehe. Rasanya dah 2-3 hari buat kek ni tapi tu lah, tak dapat nak post pd masa yg sama. Walaupun lapisannya berterabur sedikit, tapi mmg sedap, wangi dan moist gitu...ala, setakat buat minum petang, tak kisahlah kan cantik ke tak cantik, malas nk fikir dah...hehe. 

Kalau guna coklat cadbury lagi elok rupa kek ni. DJ guna milk roundies jer sb tu jelah yg ada dlm stok. Apa2pun, kek ni tak manis sgt. Memang sesuailah dimakan bagi yang tak suka manis. Lagi satu yer, time dah masak tu, jgn terus dipotong, nanti jadi comot pulak....biar betul-betul sejuk dan coklatnya pun sejuk, barulah boleh dipotong dengan cantik. Itu saja tip mudahnya...hehe.


Jom layan resepinya...

Kek Kukus Lapis Coklat

bahan-bahan : loyang 8 x 4.5 x 4.5
  • 1 1/4 cawan tepung gandum
  • 1/2 cawan  nestum yang sudah dikisar dan sekali ayak
  • 1 sk baking powder
  • 250 g mentega
  • 5 biji telur A (asingkan putih dan kuningnya)
  • 80 g gula kastor
  • 1/4 cawan susu pekat manis
  • 150 g coklat Cadbury / Milk Roundies
  • 1 sk esen vanilla
  • pes pandan/pewarna hijau dan pes strawberi /pewarna merah
***kalau nak tengok contoh coklat Cadbury, boleh jenguk di dapur Zaliedana

Cara-cara :
  1. Sediakan pengukus dan jerangkan airnya. Balutkan penutup kukusan dengan tuala. Sediakan loyang dan sapukan dengan mentega. Ayakkan tepung bersama baking powder dan satukan dengan nestum. Ratakan.
  2. Pukul putih telur hingga berbuih. Kemudian masukkan gula sedikit demi sedikit dan pukul hingga kental. Ketepikan.
  3. Di dalam mangkuk pengadun berasingan, putar kuning telur bersama susu pekat dan mentega hingga pucat. Kemudian, satukan dengan tepung tadi dan esen vanilla. Putar sebati dengan kelajuan perlahan. 
  4. Satukan adunan tadi bersama putih telur dan putar lagi hingga sebati. 
  5. Bahagikan adunan kepada 2 bahagian. Satu bahagian dicampurkan dengan pes pandan/pewarna hijau dan satu bahagian lagi dengan pes strawberi/pewarna merah. Kemudian setiap adunan dibahagikan lagi dengan 3 bahagian. Kesemuanya ada 6 lapisan.
  6. Tuangkan lapisan merah terlebih dahulu dan kukus selama 5 minit. Kemudian, susunkan dengan coklat Cadbury tetapi JANGAN DITEKAN. Setelah itu, tuangkan adunan hijau perlahan-lahan di atasnya. Ratakan. Kemudian dikukus selama 7 minit. Ulangi proses hingga habis. Untuk lapisan terakhir, sila kukus hingga 15-20 minit lagi. (kek ini cepat masak dan tidak perlu dikukus terlalu lama)
  7. Setelah masak, angkat dan sejukkan terlebih dahulu barulah dipotong supaya lapisannya tidak comot. 

Kukus waktu malam. Inilah hasil kek yg baru dikeluarkan dari loyang. 

Cedaaaapp!